Contributors

Monday, May 11, 2009

" KECEMERLANGAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN ASAS KEJAYAAN WAWASAN "

Penyampai        : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

Tajuk               : MAJLIS KONVENSYEN PERDANA PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2001

Lokasi              : INSTITUT AMINUDDIN BAKI, GENTING HIGHLANDS

Tarikh              : 19-04-2001

 

" KECEMERLANGAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN ASAS KEJAYAAN WAWASAN "

Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan hidayah-Nya, kita dapat bersama dalam dewan ini untuk menjayakan Majlis Konvensyen Perdana Pendidikan Kebangsaan yang julung-julung kali diadakan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang untuk saya hadir bersama dalam himpunan besar komuniti guru bagi mencetuskan wacana tentang pendidikan negara.

2. Pendidik memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan generasi yang akan mengambilalih daripada generasi semasa. Pendidik bukan sahaja dipertanggungjawab untuk membekal generasi baru dengan ilmu pengetahuan tetapi juga untuk menyemai nilai-nilai hidup yang boleh menentukan jaya atau tidaknya masyarakat dan bangsa. Jika nilai-nilai yang disemai itu buruk maka buruklah masyarakat dan jika murni maka akan  berjayalah masyarakat. Jika budaya iaitu jumlah nilai-nilai yang diamalkan oleh sesuatu  masyarakat itu tidak sesuai dengan kemajuan, penyemaian nilai-nilai yang sesuai oleh pendidik boleh memulih dan memajukan masyarakat itu semula.

3. Ilmu pengetahuan tanpa nilai-nilai yang mulia belum tentu dapat melahirkan masyarakat yang baik dan berjaya. Nilai-nilai yang mulia tanpa ilmu pengetahuan juga tidak akan melahirkan masyarakat yang berjaya. 

4. Memang benar ibubapa juga bertanggungjawab untuk menyemai nilai-nilai hidup yang baik. Tetapi ibubapa mungkin tidak terlatih sama ada berkenaan dengan nilai-nilai yang patut menjadi pilihan ataupun dengan cara-cara yang berkesan untuk menyemainya. Sebaliknya pendidik adalah orang yang terlatih dan mereka terlibat dengan pembentukan peribadi murid dan penuntut dalam jangka waktu yang lebih panjang, sewaktu umur murid dan penuntut lebih `impressionable` iaitu umur di waktu mana persepsi dan penerimaan pengaruh-pengaruh adalah terbuka.

5. Justeru itu pendidiklah yang lebih bertanggungjawab untuk membentuk generasi baru yang lebih berpengetahuan dan berperibadi yang sesuai dengan kejayaan.

6. Bagi masyarakat yang sudah pun memiliki budaya yang sesuai dengan kemajuan, perkembangan budaya ini tidak menjadi masalah. Pendidik yang lahir dan membesar dalam masyarakat ini sudah tentu telah menerap budaya yang sesuai.  Tetapi jika sesuatu masyarakat itu tidak mempunyai budaya yang sesuai, pengembangan budaya baru yang lebih sesuai perlu diusaha secara sengaja dengan melatih dan menyebar nilai-nilai yang baik kepada pendidik terlebih dahulu. Jika pendidik sudah terima dan menerap budaya baru ini dan dilatih secara khusus untuk menyemaikannya di kalangan murid dan pelajar, maka proses membentuk budaya baru yang sesuai dengan kemajuan boleh dilaksanakan dengan berkesan oleh pendidik.

7. Dalam dunia terdapat bangsa yang maju, bangsa yang kurang maju dan bangsa yang daif. Perbezaan di antara kemajuan bangsa-bangsa ini berpunca daripada nilai-nilai hidup, iaitu budaya yang dipegang dan diamal oleh bangsa-bangsa berkenaan. Sumber alam yang kaya, cuaca yang segar, faktor geografi dan lain-lain tidak mempunyai kesan seperti budaya. Sebab itu di negara yang sama, bangsa yang berlainan, iaitu berbudaya yang berlainan, mencapai kemajuan yang berbeza. Bangsa yang sama juga, jika berpegang kepada nilai yang berlainan tidak akan sama kemajuan mereka. 

8. Di Malaysia budaya Melayu dan budaya Cina amat ketara perbezaannya. Sementara budaya Cina memberi penghargaan yang amat tinggi kepada penguasaan ilmu pengetahuan, budaya Melayu tidak begitu menghargai ilmu. Kita lihat anak-anak Melayu walaupun diberi peluang tidak menuntut sekuat anak Cina. Justeru itu prestasi anak Melayu dan anak Cina berbeza secara ketara. Bukanlah anak Melayu mempunyai otak yang kurang baik. Daripada segi kecerdasan otak Cina atau Melayu atau orang putih lebih kurang sama sahaja. Tetapi
budaya Cina begitu kuat menekan tuntutan ilmu sehingga mereka dan ibubapa mereka menumpu bersungguh-sungguh kepada mempelajari ilmu oleh anak-anak mereka. Ramai daripada mereka mengorbankan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk membiayai pelajaran anak. Ada juga ibubapa Melayu yang berbuat demikian tetapi bilangan mereka tidak ramai.

9. Selain daripada itu orang Cina menerap nilai-nilai yang diajar oleh Confucius dalam urusan hidup mereka. Nilai-nilai ini mempunyai banyak yang ditafsir sebagai nilai murni dan membantu pemilikan sikap yang menjayakan urusan hidup mereka. Agama Islam memberi lebih banyak panduan akan nilai hidup kita sebagai orang Islam tetapi majoriti daripada kita tidak mengamalkannya. Orang Islam disuruh menuntut ilmu sehingga ke negeri China tetapi kita orang Melayu tidak sanggup bersusah-payah untuk menghadapi cabaran seperti yang perlu dihadapi oleh orang Islam di zaman Nabi jika mereka ingin menuntut ilmu di negara China. Penuntut Melayu tidak pun belajar dengan bersungguh-sungguh setelah menerima pelbagai jenis bantuan dan kemudahan. Sebab itu kita bermasalah untuk memasuki 55 peratus anak Melayu ke universiti kerana kelulusan yang tidak cukup tinggi. Kerapkali ramai anak Cina yang lebih layak terpaksa ditolak.  Prestasi anak Melayu di universiti tidak sebegitu baik kerana setelah dimasukkan ke universiti mereka tidak menumpukan sepenuh masa dan tenaga kepada mempelajari ilmu tetapi sebaliknya mereka melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan lain.

10. Pendedahan ini mungkin menyakitkan hati pihak tertentu tetapi perbezaan budaya di antara Cina dan Melayulah yang menyebabkan Dasar Ekonomi Baru sukar dicapai. Kerana ingin kaya cepat, saham, lesen, permit, kawasan balak dan lain-lain lagi dijual dengan segera kepada orang lain. Walaupun orang lain ini terpaksa tanggung kos pembelian kawasan ini, mereka masih boleh untung dan berjaya. 

 

11. Jika kita ingin mengimbangkan prestasi kaum-kaum di Malaysia nilai hidup dan budaya yang menghalang pencapaian kemajuan perlu dikikis. Bagi anak Melayu mereka perlu diperkenalkan dan diasuh dengan nilai-nilai Islam yang semuanya murni. Tidak ada sesuatu yang disuruh oleh agama Islam yang akan merugikan kita jika kita tidak sengaja menyalahtafsir ajaran Islam. Umpamanya perjanjian mesti ditulis dan menjadi tanggungjawab orang Islam untuk menunaikan janji ini. Jika dibuat janji mulutpun ikatannya dianggap sama kuat dan merupakan ikrar yang mesti ditunaikan. Tetapi ramai orang Islam yang mungkir janji tanpa rasa bersalah. Kerana tidak berpegang kepada ajaran Islam maka pencapaian orang Melayu tidaklah seperti yang sepatutnya.

12. Pendidik bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampai ilmu kepada murid dan penuntut. Pendidik juga bertanggungjawab untuk membentuk peribadi yang mulia yang
boleh berjaya di samping memberi tekanan kepada soal nilai hidup yang mulia dan budaya yang sesuai dengan kejayaan.  Dengan perkataan lain pendidik menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa, sesuatu negara, sesuatu tamadun.

13. Mungkin peranan ini yang diletak di bahu pendidik dianggap terlalu berat. Tetapi hakikatnya faktor-faktor lain yang mempengaruhi pembentukan peribadi rakyat sesebuah negara, seperti didikan ibubapa, budaya yang sedia ada yang diamalkan oleh rakyat negara, amalan agama sebangsa serta persekitaran tidak memberi kesan seperti peranan pendidik.  Lagipun jika perubahan hendak dibuat kepada budaya bangsa, pendidiklah yang perlu memainkan peranan utama. Di Malaysia kita tahu jika kita ingin mengimbangkan kejayaan orang Melayu dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia, maka perubahan nilai hidup dan budaya mesti diusahakan di kalangan anak-anak Melayu. Mereka perlu diasuh dengan nilai-nilai Islam yang sebenar, bukan yang sengaja dikembangkan sekarang oleh pihak yang mempunyai kepentingan lain.  Sebenarnya di waktu ini nilai dan budaya yang dikembangkan di kalangan pelajar kita adalah lebih buruk dari dahulu.  Sebab itu walaupun mereka memperolehi ilmu, sumbangan mereka kepada pembangunan masyarakat tidak begitu baik.

14. Justeru itu amat penting sekali pendidik sendiri dilatih dalam bidang penyebaran nilai dan budaya kepada pelajar di bawah mereka. Tetapi bagaimanakah nilai dan budaya ini akan diketahui oleh pendidik? Untuk ini maka pensyarah dalam kolej-kolej perguruan perlulah dilengkapi dengan pengetahuan berkenaan peranan budaya dan nilai hidup dalam menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa. Pengetua dan pensyarah kolej perguruan perlu menyampaikan kepada bakal guru akan nilai-nilai yang hendak diterapkan dan budaya yang hendak dibentuk. Pengetua dan pensyarah perlu diberitahu dan dilengkapi dengan segala-gala yang dianggap penting untuk disampaikan kepada guru pelatih.  Dengan itu maka pendidik yang mendidik anak-anak kita akan berjaya menyemaikan nilai-nilai yang mulia di kalangan warganegara akan datang dan membentuk budaya yang sesuai dengan kejayaan bangsa.


15. Peranan yang perlu dimainkan oleh pendidik dalam pembentukan peribadi yang mulia dan budaya yang boleh membawa kejayaan tidak kurang pentingnya berbanding dengan
penyampaian pelbagai ilmu kepada murid dan penuntut. Ini adalah kerana ilmu yang diperolehi boleh disalahgunakan.  Orang yang berpengetahuan dan cerdik boleh menjadi penjenayah yang lebih cekap. Kesan perbuatan mereka tentu lebih buruk kerana mereka berilmu.

16. Demikian jika kerana kelulusan tinggi mereka maka mereka memegang jawatan yang tinggi tanpa dikawal oleh nilai-nilai murni, mereka mungkin akan menyalahgunakan kuasa mereka seperti terlibat dengan rasuah. Sebaliknya mengawal nafsu dan diri lebih mudah dilakukan apabila seseorang itu memiliki nilai hidup yang baik. Pegawai akan dapat memperingati diri akan keburukan jenayah yang hendak dilakukan, akan balasan yang akan diterima dan lebih penting lagi ialah perasaan malu dan tidak senang hati apabila terlibat dengan jenayah.

17. Sama ada sesebuah negara dipenuhi dengan rakyat yang berilmu bergantung kepada pendidik di berbagai-bagai peringkat. Dahulu kita berpendapat bahawa pelajaran dan
penerapan ilmu adalah sesuatu yang dibuat semasa kecil.  Apabila dewasa kita berhenti belajar kerana kita akan bekerja untuk menyara hidup. Hari ini proses mempelajari dan menguasai ilmu tidak terhad kepada masa kecil atau sebagai remaja. Pembelajaran ilmu adalah proses berterusan yang tidak boleh dihentikan. Selain daripada itu ilmu yang dituntut perlu mempunyai kaitan yang rapat dengan kerja yang hendak dibuat.

18. Dahulu kelulusan dalam bidang sastera dianggap melayakkan seseorang untuk membuat apa sahaja kerja; menjadi pentadbir, pengurus, pekerja mahir dan bermacam-macam lagi.  Hari ini setelah mendapat pelajaran asas yang umum, pelajaran dan latihan yang khusus perlu dibuat sebelum seseorang dianggap layak untuk membuat kerja tertentu.  Semakin lama pengkhususan menjadi semakin tepat.

19. Pendidik memainkan peranan di semua peringkat.  Pendidik yang terlatih dan cekap dapat memindahkan ilmu dengan berkesan kepada pelajar. Oleh kerana bidang pelajaran sudah menjadi lebih khusus dan tepat pendidik juga perlu memiliki ilmu yang sama tepat. Walaupun pelajaran seumur hidup tidak formal dan tidak memerlukan pendidik, namun penyediaan bahan dan teks tetap bergantung kepada pendidik yang terlatih dalam bidang berkenaan.

20. Yang jelas ialah di zaman ini peranan pendidik semakin bertambah dan semakin luas apabila pelajaran jarak jauh berkembang dengan lebih pesat. Permintaan untuk pendidik tentulah meningkat dan ini bermakna profesion pendidik dapat sekali lagi menjadi karier yang amat menarik.  Justeru itu pendidik di semua peringkat perlu membuat persediaan untuk mengguna teknologi baru seperti komputer, CD dan Internet untuk memperluaskan liputan pengajaran yang boleh dibuat oleh mereka.

21. Sepertimana kita tahu Malaysia telah menyediakan infrastruktur yang canggih untuk multimedia dan zaman maklumat. Untuk menyampaikan ilmu kepada seberapa ramai
penuntut melalui pengajaran jarak jauh teknik baru perlu diteroka. Ini melibatkan penyediaan `software` yang dapat memudahkan pembelajaran, umpamanya penggunaan gambar tiga dimensi, `computer animation`, dialog antara pendidik dengan pelajar, penilaian prestasi, pakej pelajaran pelbagai ilmu dan seribu satu lagi cara yang memudahkan penerapan ilmu oleh semua pelajar walaupun I.Q. mereka tidak begitu tinggi.  Sebenarnya semua orang dapat menambah ilmu pengetahuan mereka, termasuk dalam bidang yang relevan kepada kerja dan tugas mereka melalui kemudahan komputer dan `software` yang semakin banyak dan semakin canggih.

22. Zaman maklumat dan teknologi komunikasi membuka peluang yang luas kepada pendidik. Mereka tidak lagi terhad kepada bilik darjah. Dalam sekolah sekalipun ada kemungkinan seorang pendidik mengajar pelajar dalam dua atau tiga bilik darjah dalam matapelajaran yang berlainan tetapi di masa yang sama. Sekolah bistari yang telah disediakan oleh Kerajaan bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pelajar dalam penggunaan komputer dan alatan canggih yang lain tetapi juga akan memberi peluang kepada guru meneroka dan mencipta cara-cara baru mengajar yang lebih berkesan daripada cara yang telah diperkenalkan melalui `software` yang sedia ada. Tidak ada had kepada kebolehan komputer dalam mempermudahkan segala proses termasuklah proses mendidik dan mengembangkan ilmu di kalangan pelajar sama ada yang memang pintar ataupun yang kurang cerdik atau pandai.  Zaman maklumat akan mewujudkan masyarakat yang lebih berpengetahuan dan lebih bijak. Dan pendidik akan memainkan peranan utama dalam pembentukan masyarakat yang berilmu ini.

23. Bagi Malaysia matlamat atau sasaran kita sudah pun ditentukan. Kita ingin menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Untuk mencapai wawasan ini kita perlu kepada rakyat yang lebih produktif, yang mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Apakah mungkin kita kejar matlamat ini sedangkan sasaran ini sering berubah? Di waktu kita menyuarakan buat pertama kali Wawasan 2020, kita masih lagi berada di zaman industri. Kita yakin kita boleh menguasai segala ilmu dan teknik untuk menjadikan negara kita sebuah negara industri yang mampu mengeluarkan apa sahaja barang buatan.

24. Tetapi hari ini kita berhadapan dengan paradigma baru, iaitu negara yang maju perlu menguasai teknologi dan penggunaan maklumat secara yang boleh meningkatkan produktiviti. Untuk ini kita perlu menguasai ilmu-ilmu yang baru diperkenalkan, bahkan kita perlu mencipta ilmu yang baru. Sasaran kita sudah berubah dan berubah secara radikal.

25. Wawasan 2020 yang kita bayangkan pada tahun 1991 tidak sama dengan Wawasan 2020 yang dapat kita gambarkan hari ini.  Mungkin juga ia akan berubah lagi dalam jangkamasa 20 tahun sebelum tiba tahun 2020. Rakyat Malaysia di semua peringkat perlu sedar akan hakikat ini untuk menangani sasaran yang sering berubah-ubah ini.

26. Sama ada kita berjaya atau tidak bergantung kepada banyak faktor, antaranya ialah kemampuan kita menerap dan mempergunakan ilmu untuk meningkat daya pengeluaran dan daya saing kita. Jika kepimpinan pendidik kita berwibawa dan sanggup menghadapi cabaran yang akan datang ini, jika mereka bersedia meningkatkan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh mereka dan cekap pula dalam mendidik pelajar seumur hidup, maka kita masih boleh mencapai wawasan kita.

27. Kesanggupan generasi yang akan berusaha ke arah Wawasan 2020 bergantung kepada budaya yang dibentuk oleh pendidikan semasa. Jika budaya ini sesuai dengan menangani cabaran dunia alaf baru yang bukan sahaja memperlihatkan teknologi yang canggih menjadi bertambah canggih, tetapi juga cabaran globalisasi serta kegelisahan dan pergolakan politik dalam dan luar negeri, jika budaya yang dibentuk hasil usaha pendidik sekarang sesuai dengan cabaran-cabaran baru, insya-Allah kita akan berjaya mencapai Wawasan 2020.

28. Ternampak jelas bahawa kepimpinan pendidik amatlah penting untuk kita mencapai Wawasan 2020. Kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membekalkan negara dengan kepimpinan pendidikan yang berkemampuan. Peluang untuk pendidik meningkatkan keupayaan mereka akan disediakan di semua peringkat. Kita harap negara kita terus stabil dan maju supaya upahan kepada pendidik dapat diperbaiki selaras dengan peranan yang akan dimainkan oleh mereka.

29. Sesungguhnya Wawasan 2020 banyak bergantung kepada kualiti rakyat hasil daripada pendidikan mereka. Adalah diharapkan tidak ada sesiapa yang akan mengganggu usaha murni kita kerana mereka tidak suka kepada ilmu-ilmu baru yang diperkenalkan, yang mungkin dianggap oleh mereka sebagai sekular dan sebagainya.

30. Orang Islam telah terlepas peluang Revolusi Perindustrian. Janganlah orang Melayu di Malaysia sengaja melepaskan peluang dari Revolusi Maklumat. Jika kita terlepas kali ini, tidak mungkin lagi kita dapat mengejar kemajuan. Kita akan terus ditindas dan ditakluk oleh bangsa-bangsa yang akan menguasai teknologi dan maklumat alaf baru ini. Kita akan dijajah semula.

31. Akhirnya di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua bagi merealisasikan wacana intelektual pendidikan melalui konvensyen yang bermakna ini. Saya berharap usaha yang memberi manfaat bagi tuan-tuan dan puan-puan para pendidik sekalian akan diteruskan.

 

.:: Sedetik Waktu Berlalu Mendekatkan Yang hak kepada Hak-NYA ::.


No comments: