Contributors

Friday, September 11, 2009

Daripada Abdul Jamil Lam kepada Hizbi Net dan rakan-rakan, 15 Mac 1999, “Ya Habiballah: Subuh”; disunting dan disampaikan kepada GU dan KMSM oleh Cikgu Isa pada 12 Februari 2000. Disampaikan kepada Amanah Warga Pendidik atas permintaan Sherrina.

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain aku menyambut seorang tetamu tetapku.
“Assalamualaikum,” seru Subuh.
“Waalaikumussalam,” sahutku.
Kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari suatu tempat ke satu tempat.
“Tadi aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satu pun tiada yang mahu menerimaku sebagai tetamu,” kata Subuh dengan sayu.
Air mata Subuh berlinang.
“Subuh, usah pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa gembira?”
Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.
“Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat. Tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan. Hidangan yang paling kusukai ialah buah tahajud. Puas kucari di bumi lain, tetapi jarang kujumpai. Di situ aku meratah buah tahajud dengan puas serta leka.”
Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh.
“Maaf Subuh, aku tidak menanam pohon al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kausukai. Tapi aku ada roti syiyam,” cadangku pada Subuh.
Subuh menolak dengan hormat.
“Roti itu ada tuan punyanya,” kata Subuh.
“Adakah engkau mahu manisan zikir?” rayuku pada Subuh.
“Baiklah, ambilkan aku sedikit. Bawakan juga aku segelas air mata tangisan,” pinta Subuh.
Aku agak sugul. Bagaimana harus kuberitahu padanya yang air mata tangisan sudah hampir habis kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan air mata tersebut. Aku terkejut perigi itu hampir separuh penuhnya. Dan aku berdetik dalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir?
Tanpa berlengah lagi kubawa air tersebut kepada Subuh, tetamu yang kusanjung. Kusuakan juga manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan senyuman.
“Subuh,” seruku. “Mahukah kautinggal selama-lamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan engkau dengan sebaiknya.”
Subuh tersenyum menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi.
“Aku perlu menziarahi banyak orang. Banyak lagi insan yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, seperti mana aku menguliti mimpimu.”
Aku akur dengan penjelasan Subuh.
“Subuh,” seruku lagi apabila melihat Subuh bersiap untuk pergi. “Sudikah engkau menziarahiku lagi esok hari?”
“Insya-Allah,” jawabnya. “Bukankah aku kekasih yang kau rindui?”
Subuh berangkat lambat-lambat tetapi tetap.
“Assalamualaikum,” seru Subuh.
“Waalaikumussalam,” jawabku kembali.
Mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Akhirnya Subuh hilang daripada pandangan.

Tamat.
Renungan: Apakah agaknya keluh-kesah Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak? Jawapannya tersirat dalam diri.

No comments: