Sunday, August 02, 2009

"Maaf, Saya Tak Tahu Apa Itu Influenza H1N1"

"Maaf, Saya Tak Tahu Apa Itu Influenza H1N1"

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Mungkinkah istilahnya yang asing, influenza A (H1N1), atau kes kematian yang jarang didengar dalam kalangan mereka yang positif, menyebabkan masih ramai rakyat Malaysia tidak begitu pedulli dengan ancaman selesema ini.

Berdasarkan laporan berita, penyakit "baru dan berjangkit" ini sudah berada di sekitar kita dan setakat 30 Jun, terdapat 158 kes H1N1 yang di negara ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat 30 Jun, terdapat 71,076 kes H1N1 yang dilaporkan di 116 negara dengan jumlah kematian 311.

Malangnya sesetengah masyarakat Malaysia masih belum bersedia untuk mengambil langkah berjaga-jaga di sebalik peringatan harian yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan serta pelbagai langkah pencegahan yang dilaksanakan.

"Saya tak tahu apa itu Influenza A (H1N1)," jawapan daripada seorang pendengar radio, mungkin dianggap kes terpencil, orang yang sengaja tidak mahu ambil tahu kisah di sekelilingnya.

Bagaimanapun, bila hospital meletakkan kain rentang dan poster mengingatkan pelawat jangan bawa kanak-kanak ke wad melawat pesakit, ramai yang dilihat tidak menghiraukannya.

Mungkinkan sikap tidak begitu peduli ini selagi penyakit itu tidak mengenai keluarga sendiri?.

Jururawat Rohaiyah Majeed berkata: "Masih ada ibu bapa yang membawa anak kecil mereka melawat saudara-mara atau kenalan yang sakit di hospital.

"Sememangnya larangan membawa kanak-kanak bawah 12 tahun masuk ke dalam wad adalah peraturan tetap di hospital, apatah lagi dengan masalah selesema babi sekarang yang mudah berjangkit.

"Kadang kala seolah berlaku satu karnival di mana anak-anak kecil kelihatan berlari ke sana-sini membuat bising," katanya.

Lebih teruk lagi jika orang dewasa sendiri bila bersin dan batuk, tidak menutup mulut dan hidung mereka dengan sapu tangan atau tisu, walaupun di hospital.

MASIH ADA YANG TIDAK TAHU

Seorang pengamal perubatan swasta Dr K. Mathew berkata: "Ini menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu tentang Influenza A (H1N1), apatah lagi tentang bahaya penyakit ini", kata beliau.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, H1N1 ialah penyakit respiratori (pernafasan) yang disebabkan virus jenis Influenza A yang biasanya merebak pada babi.

Biasanya virus H1N1 tidak menyerang manusia tapi jangkitan manusia kepada manusia sedang hebat berlaku ketika ini, sama seperti jangkitan selesema biasa yang bermusim.

Virus baru ini mula diketahui menjangkiti manusia di Amerika Syarikat pada April 2009 dan semakin banyak negara melaporkan kes selesema ini.

Tanda dan gejala Influenza A H1N1 sama dengan selesema biasa dan ini termasuk demam yang tinggi dengan suhu lebih daripada 37.7 darjah Celsius, batuk, sakit tekak, sakit otot, menggigil, keletihan, cirit-birit dan muntah.

Pada bulan Jun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempertingkat amaran tahap pandemik selesema ini kepada enam, satu aras yang tertinggi.

Ini ialah pandemik pertama di dunia sejak tahun 1968. Pada 11 Jun 2009, WHO mengesahkan virus H1N1 sememangnya pada tahap pandemik, di mana 30,000 kes disahkan berlaku di seluruh dunia.

JAHIL?

Istilah H1N1 yang asing ini juga berkemungkinan antara faktor orang ramai keliru dan merasakan ancamannya juga jauh daripada mereka.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim mengesyorkan istilah selesema babi digunakan bagi memastikan orang ramai sedar akan bahaya selesema ini dan mesej mengenainya dapat disampaikan dengan lebih tepat.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata di Parlimen, istilah Influenza A (H1N1) patut dikekalkan sebagai merujuk kepada ancaman penyakit ini untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 14 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini, menjadikan jumlah kes sebanyak 158.

Dr Mohd Ismail berkata jumlah pesakit selesema H1N1 yang masih dirawat di hospital pada masa ini berjumlah 47 orang dan kesemua mereka menunjukkan respons yang baik kepada rawatan tanpa sebarang komplikasi.

Seramai 111 kes Influenza A (H1N1) telah sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital, dan setakat ini tiada kematian dilaporkan, katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya pergi segera ke hospital jika mengalami batuk, sakit tekak, selesema dan demam tinggi.

Pastikan jika ke hospital, guna laluan khas untuk bertemu doktor, dan jika sudah dikuarantin, pastikan semua arahan dipatuhi untuk kesihatan diri dan kesejahteraan semua.

-- BERNAMA

No comments: